Perdana Menteri berkata, dalam Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan dana besar bagi Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM45.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan termasuk bagi menyediakan bantuan persekolahan kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara.

“Kalau dahulu, ibu bapa dibebankan dengan yuran wajib bayar, daripada yuran khas hinggalah bayaran tambahan persekolahan. Kesemua yuran ini dimansuhkan. Yang tinggal kini cuma sumbangan mengikut keperluan kepada sekolah.

“Kalau dahulu juga, pinjaman buku teks hanya diberikan mengikut taraf pendapatan ibu bapa, kini ia diberikan kepada semua pelajar,” katanya dalam catatan di blog najibrazak.com hari ini.

Menurut Najib, perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah dua kali ganda berbanding perbelanjaan negara ASEAN, mengukuhkan lagi kenyataan betapa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah dan akan sentiasa menitikberatkan bidang pendidikan untuk rakyat Malaysia.

“Malah lebih daripada itu, dalam Bajet 2018 juga saya turut mengumumkan peruntukan terbesar bernilai RM2.5 bilion bagi membaiki dan membina semula sekolah-sekolah daif di seluruh negara menggunakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS).

“Kerajaan BN sentiasa menekankan kepentingan pendidikan. Sejak dahulu lagi, kita melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan anak-anak kita, tak kira apa latar belakang keluarga mereka, mampu mempunyai akses kepada pendidikan,” katanya.

Najib berkata, kerajaan turut menyediakan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 kepada keluarga berpendapatan rendah yang memanfaatkan 3.2 juta murid.

“Selain itu, kita juga terus menyediakan dana bagi menambah baik dan menyelenggara sekolah agar anak-anak kita dapat belajar dalam suasana kondusif dan ceria.

“Dalam Bajet 2018, sebanyak RM550 juta disediakan bagi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Majlis Amanah Rakyat dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan bagi tujuan tersebut,” katanya. - Utusan Online