Beliau merupakan ahli panel bagi Projek Pembesaran Masjidil Haram di Mekah dan terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan 2011.

Wartawan Malaysia, ABDUL RAZAK IDRIS, menemu bual beliau bagi berkongsi misi dan visi dalam ‘membesarkan’ nama Mediu sebagai pusat pendidikan Bahasa Arab dan pendidikan berteraskan Islam di Bandaraya Shah Alam.


UTUSAN: Apakah misi dan visi Prof. setelah menjawat jawatan Ke­tua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiti Al-Madinah Antarabangsa (Mediu)?

DR ISMAWI: Sejak penubuhan hampir 10 tahun yang lalu Mediu adalah sebuah universiti antarabangsa yang berpangkalan di Shah Alam. Sebagai universiti berkonsep wakaf Mediu ditubuhkan pada 26 Disember 2006 sebagai universiti maya atau dalam talian. Pada tahun 2010 kita memulakan pengajian dalam kampus.

Kita berhasrat menjadikan pendidikan sebagai persiapan sebaiknya untuk generasi muda terutama golongan umat Islam. Misi Mediu adalah pendidikan berlandaskan Islam, apa yang kita ada di sini adalah pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Justeru, misi terbesar Mediu ditubuhkan adalah untuk menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu.Kita mahu mengembalikan kepentingan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu sebagaimana di Andalusia, Sepanyol di zaman keagongan Islam di Eropah.

Boleh Prof. terangkan per­kem­­bangan pengajian Bahasa Arab di Mediu khususnya dan di ban­daraya ini amnya?

Pelajar-pelajar perlu me­nguasai Bahasa Arab sebelum di­benarkan mengikut kursus seperti pengurusan perniagaan, ke­juruteraan mahupun pengajian agama Islam.

Mereka akan belajar Bahasa Arab sehingga mahir selama setahun sebagaimana pengajian Matrikulasi sebelum dibenarkan mengikuti kursus peringkat Ijazah di dalam pengkhususan masing-masing.

Pengajian Bahasa Arab untuk bakal-bakal pelajar kursus pengkhususan ini adalah percuma.

Mengapa Mediu memilih Shah Alam sebagai pusat operasi?

Shah Alam adalah sebuah ban­dar raya dan merupakan pusat pendidikan, pentadbiran dan mes­ra kepada komuniti antarabangsa. Jika ingin berjaya me­nguasai bahasa ini persekitaran adalah penting.

Komuniti Arab ramai yang berada di bandar raya ini, jadi kita mengambil faktor tersebut sebagai sebab utama Mediu perlu bertapak di sini.

Para pelajar boleh belajar terus dari pensyarah yang memang ber­asal dari negara yang bahasa kebangsaannya Bahasa Arab. Ma­syarakat Arab ramai tinggal di Shah Alam memudahkan proses amali dan pendidikan berjalan serentak, itulah keunikan kursus Bahasa Arab kami di sini.

Bandar raya Shah Alam boleh dianggap sebagai bandar raya yang padat dengan ciri kesenian Islam yang mana di sini juga terdapat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Yayasan Restu.

Apa pandangan Prof. kepen-tingan kewujudan dua pusat umat Islam tersebut dengan Mediu?

Kewujudan pusat tumpuan umat Islam seperti masjid dan pusat kesenian di Shah Alam sudah pasti menarik ramai pelancong dari negara Arab. Kita boleh menarik ramai pelancong jika masyarakat di sini fasih berbahasa Arab.

Dasar negara barat yang menyokong rejim Zionis Israel menyebabkan orang Arab akan memilih Malaysia yang merupakan negara paling pesat membangun sebagai destinasi pelancongan. Inilah saat terbaik (moment of truth) kebangkitan Bahasa Arab sebagai medium aktiviti sosio-ekonomi.

Warga Malaysia khususnya dalam bidang perhotelan, makanan dan perniagaan runcit di Shah Alam perlu memahirkan diri dengan Bahasa Arab untuk menyambut jutaan pelancong yang pastinya tidak akan memilih negara barat yang dilihat tidak mesra pelancong Islam akibat masalah geo-politik dunia.

Bagaimana Mediu boleh membantu masyarakat Shah Alam khu­susnya dan negara ini amnya ingin belajar Bahasa Arab ?

Kami mempunyai pensyarah dari negara Arab yang bukan sahaja boleh mengajar Bahasa Arab malah mengajar mengikut loghat dan budaya di mana masyarakat menuturkan bahasa tersebut. Bahasa Arab bukan seperti Bahasa Inggeris yang lebih berterus terang maknanya. Bahasa Arab mempunyai roh di dalamnya. Kami di sini akan mengajar Bahasa Arab mengikut laras Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), kejuruteraan dan juga ekonomi.

Sehubungan itu saya membuka pintu seluasnya kepada masyarakat di bandar raya ini untuk belajar Bahasa Arab sama ada sepenuh masa mahupun separuh masa.

Kami mahu jadikan Mediu pusat sehenti Bahasa Arab walaupun ada universiti dan institusi lain yang mengajar bahasa Nabi Muhammad SAW ini.

Tidak ramai yang tahu kewujudan Mediu di Plaza Masalam di kawasan komersial di bandar raya ini. Komen anda?

Lokasi kami di sini agak strategik untuk sesiapa yang ingin menghadiri kuliah. Pe­ngajian secara da­lam talian un­­­tuk pelajar-pelajar dari serata dunia turut dijalankan.

Apa yang pen­ting sebagai universiti wakaf kami fokus kepada memberi pendidikan bukan menjana keuntungan semata-mata.

Bagaimana Prof. melihat kewujudan Mediu dapat meng­erat­kan hubu­ngan antara Arab Saudi dan Malaysia?

Mediu wujud atas wakaf Kerajaan Arab Saudi semasa pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga kini. Walaupun dilanda pelbagai masalah semasa kita tetap kekal teguh untuk mewujudkan Mediu sebagai wadah pendidikan ummah.

Saya berbesar hati dipilih sebagai CEO Mediu dan berhasrat menghasilkan kecemerlangan Bahasa Arab dengan menjadikan Shah Alam sebagai hab bahasa peradaban Andalusia beratus tahun dahulu.

Situasi politik dan ekonomi di negara Arab masa kini menyebabkan berlaku perubahan destinasi pelaburan dan pelancongan ke negara Asia. Rakyat China dan Jepun kini sudah belajar Bahasa Arab kerana mereka melihat potensi ekonomi pada masa depan.

Mengapa kita harus mengambil sikap tunggu dan lihat untuk belajar Bahasa Arab sedangkan di Mediu memiliki segala prasarana dan tenaga pengajar.