Menurut MAHB, syarikat itu merekodkan pendapatan bernilai RM4.65 bilion, serta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM1.91 bilion dalam tempoh sama, masing-masing meningkat 11.5 dan 11.8 peratus.

“Prestasi dengan gabungan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (SGIA) di Turki, membolehkan kumpulan mengendalikan sebanyak 127.9 juta penumpang, meningkat 7.8 peratus dari tahun kewangan 2016.

“Trafik penumpang bagi operasi Malaysia juga berkembang 8.5 peratus kepada 96.5 juta untuk tempoh tersebut, melepasi 90 juta penumpang buat pertama kali, serta mencapai kejayaan lebih 50 peratus bahagian pasaran daripada penumpang antarabangsa,” jelasnya dalam kenyataan di sini.

Mengulas mengenai unjuran, pengendali lapangan terbang itu memberitahu, 2018 menjanjikan prospek yang baik kepada MAHB kerana komitmennya dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan di semua operasi lapangan terbang.

Jelas syarikat berkenaan lagi, pergerakan penumpang antarabangsa bagi sektor di China, India dan Asia Tenggara dijangka membentuk sekitar 75 peratus daripada trafik antarabangsa untuk 2018.

“Berdasarkan keadaan ekonomi semasa serta kapasiti tempat duduk tambahan yang ditawarkan syarikat penerbangan, trafik penumpang di Malaysia dijangka berkembang 6.3 peratus tahun ini, masing-masing 8.3 peratus bagi antarabangsa dan 4.2 peratus domestik.

“Sementara itu juga, SGIA pula dijangka mampu untuk mencatatkan sebanyak 34 juta pergerakan penumpang untuk tahun 2018, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil di negara tersebut,” jelasnya.

MAHB mencadangkan dividen tahap satu, lapan sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2017, bersama dengan dividen interim awal lima sen sesaham, menjadikan jumlah dividen mencecah 13 sen berbanding 10 sen tahun 2016.

Ends.