Persembahan bermula kira-kira pukul 10 malam sejurus majlis perasmian pembukaan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di mana Awie yang memegang watak sebagai Panglima Awang atau Henry The Black yang mengelilingi dunia bersama pelayar Portugis, Ferdinand Magellan.

Persembahan ringkas selama 30 minit itu membuatkan penonton kagum selain memberi kefahaman kepada mereka yang hadir termasuk beberapa delegasi serta duta dari Ukraine, Maldives, Kanada, Syria, Uzbekistan, Ghana, Indonesia dan Timor Leste.

Henry The Black sebenarnya adalah Panglima Awang yang ditawan semasa Portugis menyerang Melaka namun diangkat sebagai orang kanan Magellan kerana kemahiran, ilmu pelayarannya yang tinggi dan ketangkasannya menentang musuh, sekali gus menjadi bukti bahawa Melaka begitu tersohor di mata dunia suatu ketika dahulu.

Selain pementasan epik sejarah Pelayaran Panglima Awang yang menjadi ‘trademark’ FASM setiap tahun dianjurkan di Dataran Sungai Melaka, Kampung Morten, Awie turut menyampaikan beberapa buah lagu bersama beberapa penyanyi terkenal termasuk Syafinaz Selamat, Aiman Tino dan Azlan & The Typewriter.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dalam ucapan beliau berkata, FASM yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya tahun ini diadakan dari 16 hingga 29 November membabitkan 35 acara dengan 10 daripadanya adalah acara utama.


Jelas Idris, antara acara yang disusun sepanjang festival tersebut termasuklah perarakan bot berhias dan Melaka Parade, perlumbaan perahu naga, triathlon antarabangsa Sungai Melaka, pertandingan bot kawalan jauh, Seminar Antarabangsa Sungai Melaka dan pertandingan ratu kebaya.

“Program ini dinamakan Festival Antarabangsa Sungai Melaka kerana di sinilah bermulanya kerajaaan Kesultanan Melayu Melaka yang begitu hebat telah terbina. Ia berfungsi sebagai pusat perdagangan antarabangsa sehingga dikenali sebagai Venice of The East oleh pedagang barat," katanya.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Nazary Ahmad. - UTUSAN ONLINE