Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata realiti kini menunjukkan agak sukar bagi golongan itu merebut peluang ekonomi daripada apa yang menjadi bualan sekarang seperti Revolusi Industri 4.0 atau Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

"Agenda pemerkasaan ekonomi yang khusus ini akan menjadi satu perkara baharu untuk orang muda, terutamanya orang muda di kampung dan orang muda yang tidak berjaya ke universiti. Kita kena wujudkan gelombang ekonomi untuk mereka, jangan biarkan mereka ketinggalan.

"Banyak yang telah UMNO dan BN laksanakan tapi untuk anak muda di kampung-kampung seperti di Perlis, Sabah atau mana saja, agak susah untuk mereka rebut peluang daripada DFTZ. Mereka mungkin mengharap perindustrian kecil dan sederhana di peringkat kampung dan luar bandar," katanya ketika menggulung Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata jentera Pemuda harus memastikan usul itu menjadi kenyataan selain memastikan golongan itu tahu harapan itu datang daripada UMNO dan BN untuk memartabatkan anak-anak muda Melayu di luar bandar.

Mengenai tugas khas yang diberikan pucuk pimpinan kepada sayap itu untuk PRU14, Khairy berkata mereka akan mengguna pakai 'Formula 64 Ribu' di bawah Ops Jejak, iaitu memastikan 64,000 petugas khusus untuk menjejaki 1.9 juta pengundi lelaki Melayu berusia di bawah 40 tahun.

Beliau berkata ia merupakan pendekatan sasaran mikro di mana setiap petugas perlu menjejaki, menyantuni dan mempengaruhi setiap satu daripada 30 pengundi kategori itu bagi memastikan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada mereka memberikan sokongan kepada UMNO dan BN.

"Apakah kita tak dapat luangkan masa, jalankan tugas, jaga 30 orang (pengundi lelaki Melayu muda)? 30 itu kita jumpa, wujudkan kumpulan WhatsApp dengan mereka* kita jejaki mereka.

"Daripada 30 itu, kalau 10 orang itu betul-betul hitam, tolak tepi, 10 yang putih kita jaga betul-betul, dan takkan tak boleh putihkan semula 10 yang kelabu?" katanya lagi kepada para perwakilan Pemuda UMNO.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Khairy berkata beliau akan menyuarakan hasrat Pemuda UMNO agar lebih ramai calon muda diketengahkan untuk PRU akan datang.

Walaupun sayap itu akan menerima apa saja keputusan pucuk pimpinan mengenai pemilihan calon, namun ia berharap suara Pemuda UMNO supaya parti itu dilihat sebagai parti masa depan dengan mengemukakan calon-calon muda untuk dipertimbangkan Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.

"PRU lepas kita ada lebih kurang 40 calon muda, tetapi kali ini kita harap lebih daripada itu. Bagaimanapun, kita kena tengok kepada kualiti dan peluang kekosongan yang ada.

"Saya juga kena tengok semula senarai, dan mana yang ada kekosongan, serta penerimaan calon itu sendiri sebab ramai kata calon itu harus ada kemampuan, ada penerimaan di bahagian kawasan masing-masing," katanya. - BERNAMA