Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian menghadapi dilema bagi membenarkan pembinaan loji ber­kenaan ekoran akan berlaku kemusnahan hutan, kesan dan gangguan ekosistem dan ekologi termasuk kehilangan habitat kepada haiwan dan penempatan penduduk.

“Tetapi dalam masa yang sama, kita perlukan loji janakuasa ini untuk menampung permintaan bekalan elektrik yang kian bertambah melalui proses pengeluaran yang tidak mencemarkan alam sekitar.

“Apabila kebimbangan dan dilema ini saya sendiri suarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau akhirnya meminta projek ini diteruskan dengan syarat TNB akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menampung kos kerugian, kos pampasan dan me­es­tarikan semula hutan dan semua haiwan akan dilindungi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan bangunan baharu Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan bernilai RM10 juta di ibu pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dekat sini, hari ini.

Beliau menghabiskan masa hampir dua jam melawat makmal yang melakukan khidmat forensik DNA, pengecaman spesies, pemantauan penyakit zoonotik, penyelidikan hidupan liar dan khidmat veterinar.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Rashid Samsudin.

Wan Junaidi berkata, projek loji tersebut kini di peringkat a­khir untuk diluluskan dan di­jangka mula dibina pada 2017.

Dalam pada itu beliau me­minta para penduduk Orang Asli dan pemburu haiwan liar supaya tidak lagi menggunakan perangkap atau jerat untuk menangkap haiwan-haiwan liar di hutan terutama jerat yang menggunakan dawai besi.

“Walaupun mereka hendak menangkap babi hutan atau pelanduk sebagai sumber makanan tetapi ada juga haiwan liar lain terjerat dan ditemui mati.

“Malah harimau sekali pun boleh terjerat. Sedangkan pada hari ini, spesies Harimau Malaya sahaja dianggarkan 250 sehingga 300 ekor yang masih ada di hutan-hutan,” katanya.

Beliau kemudiannya dibawa melihat sendiri sebanyak 1,070 ekor kura-kura pelbagai spesies yang berjaya dirampas daripada anggota sindiket oleh pasukan Unit Antijenayah Hidupan Liar (WCU) malam tadi.

Kura-kura dari spesies Star Tortoise, Indian Roofed Turtle dan Black Pond Turtle itu disumbat dalam beg-beg pakaian dipercayai diseludup masuk ke negara ini dari India melalui jalan darat.

Ekoran serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya dan sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur, seramai empat orang warganegara India dipercayai anggota sindiket berjaya ditahan.