JAWAPAN: Adalah dimaklumkan permohonan kebenaran merancang bagi cadangan pembangunan yang mengandungi 54 unit rumah sesebuah dan tiga blok pangsapuri kos sederhana di atas Lot PT 4990, 4992 dan 4993 Kampung Pasir Tambahan telah diluluskan kepada pemaju pada 5 Jun 2003.

Bagaimanapun, pemaju tersebut mengalami masalah kewangan dan menyebabkan tanah tersebut dilelong. Kesan daripada masalah itu, pemaju hanya dapat membina satu blok pangsapuri kos sederhana Blok A yang kini dikenali Estana Court dan satu lagi pangsapuri Blok B yang hanya dibina separuh dan terbengkalai. Tanah tersebut kini dimiliki dua pemaju berasingan iaitu Tetuan Kismajaya Sdn. Bhd. bagi Lot PT 4992 dan Tetuan Jitra Engineering Sdn. Bhd. bagi Lot PT 4990 dan 4993.

Suka dimaklumkan bahawa Tetuan Kismajaya Sdn. Bhd. adalah merupakan pemaju penyelamat yang mengambil alih bangunan dua blok pangsapuri terbengkalai iaitu Blok B dan C. Sementara jalan sambungan di antara Blok B dan Jalan UB2A merupakan akses sementera bagi pembangunan pangsapuri Blok B.

Ini adalah selaras dengan pelan susun atur bagi kebenaran merancang yang telah diluluskan pada 2003. Pelan Kerja Tanah dan Pelan Insfratruktur telah diluluskan MPAJ pada 7 Mei 2012 dan kini jalan sambungan ini sedang dalam proses pembinaan.

ABDUL HAMID HUSSAIN

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)