Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, KRC merupakan projek tahap nasional yang dirangka untuk membangunkan aktiviti hiliran industri getah di wilayah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Beliau berkata, fasa pertama projek itu dibangunkan di kawasan seluas 500 ekar dengan kerjasama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Kami percaya kerjasama membangunkan Bandar Raya Getah di wilayah IMT-GT akan menjadi faktor utama kepada peningkatan penggunaan getah seterusnya menstabilkan harga komoditi itu di pasaran.

“Ini disokong oleh sektor hiliran industri getah yang membangun di Thailand dan Indonesia,” katanya dalam ucapan sempena bengkel mengenai pembangunan Bandar Raya Getah di wilayah IMT-GT di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gua Chempedak yang juga Ahli Jawatankuasa Induk KRC, Datuk Wira Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Wilayah Utara (NCIA), Datuk Seri Jabasingam Issace John.

Menurut Mukhriz, kajian pembangunan KRC telah mengenal pasti tujuh bidang utama untuk dibangunkan iaitu produk lateks berdaya maju, tayar dan produk berkaitan tayar; getah automotif, kejuruteraan dan lain-lain produk getah yang berdaya maju.

“KRC akan turut memperkukuhkan segmen rantaian nilai getah di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran di subwilayah IMT-GT yang membolehkan pemain industri kecil dan sederhana menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, Jebasingam memberitahu, kerja-kerja pecah tanah dan pembangunan infrastruktur fasa pertama projek KRC dijangka dimulakan akhir tahun ini.

“Menjelang Jun tahun depan, KRC bersedia untuk menerima kemasukan para pelabur,” katanya. - UTUSAN ONLINE