Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, hasil perbincangan beliau bersama pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pemaju dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencapai kata sepakat untuk memastikan beberapa perkara dilaksanakan.

Jelasnya, perkara itu sebagai satu bentuk jaminan keselamatan yang selama ini menjadi kebimbangan pihak sekolah dan PIBG.

“Sebelum ini kerana tiada komunikasi, projek ini tidak dimaklumkan. Jadi perbincangan dibuat dan DBKL telah mengarahkan pemaju untuk membuat bonggol di kawasan terlibat, termasuk lintasan pejalan kaki perlu disediakan.

“Pemaju diarah mengemukakan semula cadangan projek pe­lebaran jalan termasuk dokumen laporan kajian trafik untuk dikaji bersama pihak PIBG,” katanya selepas sesi lawatan ke kawasan itu baru-baru ini.

Menurut Raja Nong Chik, beberapa langkah jangka panjang turut diambil perhatian oleh pemaju dengan mengambil kira cadangan daripada pihak sekolah.

“Saya tunaikan janji selepas sesi perbincangan sebelum ini untuk melihat sendiri penyelesaian isu ini. Barisan Nasional tidak pernah menghalang sebarang projek, namun setiap apa yang mahu dilaksanakan, isu ke­selamatan dan kepentingan komuniti kawasan perlu diambil kira,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah meminta Kementerian Kesihatan untuk menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga remaja yang maut selepas ditimpa kerusi yang dibaling dari atas blok Projek Perumahan Rakyat Seri Pantai baru-baru ini.

“Saya telah cadangkan kepada DBKL untuk memindahkan keluarga ini ke perumahan lain yang lebih luas, namun mereka menolak kerana mahu terus tinggal di situ.

“Beberapa langkah juga te­lah diambil pihak DBKL seperti mana yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, jadi tidak perlu ada pihak yang cuba mendapatkan nama atas apa yang telahpun dibuat oleh kerajaan,” katanya.