Kraftangan Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, majlis perasmian sambutan itu akan disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada pukul 1 tengah hari, 26 Mac.

“HKK 2018 bertujuan memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf dalam membangun dan memajukan industri kraf negara.

“Ia juga bakal menghimpunkan pelbagai produk dan hasil kraf tangan dari seluruh negara untuk tatapan peminat seni itu selain memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai perkembangan terkini industri kraf tempatan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, program yang berlangsung pada pukul 10 pagi hingga 10 malam itu menempatkan jualan kraf, pameran kraf baharu, penyuaian perniagaan, demonstrasi kraf, persembahan kesenian, gerai makanan dan pertandingan tari rakyat Malaysia.

“HKK 2018 kali ini berkonsepkan penggunaan media baharu dalam industri kraf iaitu aplikasi teknologi Internet of Things (IoT) yang bertemakan Ekspresi Kraf Negaraku.

“Program ini diharap dapat menjadi platform untuk memperkenalkan penggunaan teknologi baharu dalam pengkomersialan kraf tangan, pembangunan modal insan dan kelestarian industri kraf negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE