Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, keengganan kedua-dua pihak ter­babit mengikut segala peranca­ngan yang ditetapkan hanya akan mendatangkan musibah dan menyusahkan penduduk setempat.

Beliau berkata, apa yang berlaku di Pulau Pinang perlu dijadikan iktibar apabila terdapat beberapa projek yang tidak disokong oleh Pelan Malaysia tetap dibina sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai bencana termasuk banjir ketika ini.

“Apabila kita buat dasar di kementerian ini, ia merupakan panduan di peringkat Persekutuan, tidak ada hukuman, tetapi daripada segi pelaksanaan terpulang kepada peringkat negeri dan pihak PBT itu sendiri. Di Pulau Pinang mereka memutuskan untuk meneruskan pembinaan.

“Saya percaya di peringkat ne­geri, PBT mempunyai bidang kuasa sendiri. Ini yang membimbangkan apabila dasar dan panduan yang ditetapkan tidak dipatuhi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari Inovasi Peringkat Kementerian 2017 di sini semalam.

Mengulas mengenai pembangunan beberapa projek di Pulau Pinang, Noh berkata, pihaknya tidak menyokong pelaksanaan pemba­ngunan tersebut selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk saliran dan teknikal bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Bagaimanapun, pembinaannya tetap diluluskan selepas mereka mendapat persetujuan dalam mesyuarat kerajaan negeri dan juga di peringkat PBT,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai bencana banjir di Pulau Pinang, Noh berkata, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng ada menghubungi beliau semalam bagi meminta bantuan dalam kerja-kerja pembersihan terutamanya di kawasan Seberang Perai.

“Aspek pengurusan sampah di Pulau Pinang sebenarnya bukan di bawah tangungjawab kementerian kerana mereka menguruskan sendiri selepas tidak menandatangani Akta Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Namun atas dasar prihatin kita meminta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turun membantu.

“Saya difahamkan, kira-kira 60 anggota SWCorp telah digerakkan bersama-sama pelbagai peralatan dan juga lori mengangkut sampah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan terutamanya di jalan-jalan raya. Kita tumpukan di kawasan Seberang Perai kerana Guang Eng minta kita bersihkan kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pelbagai aspek perlu diberikan tumpuan kerana selepas pasca banjir pastinya lebih banyak kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan di semua kawasan yang terjejas dan pihaknya sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.