Siapa tidak suka melihat ber­aneka warna? Keunikan dan keindahan rama-rama kadang kala memukau mata yang memandang namun sayang jangka hayatnya sangat singkat.

Memberi peluang kepada orang ramai mengenali dan mem­pelajari jenis serangga, Muzium Serangga di Taman Rama-Rama Kuala Lumpur menjadi destinasi pilihan sejak sekian lama.

Pegawai Perhubungan Awam­nya, S. Roslyn Gina berkata, muzium yang mempamerkan seni rama-rama dari Amerika Selatan, Indonesia, Thailand dan Malaysia itu sudah beroperasi sejak 24 tahun lalu.

“Pe­ngunjung boleh me­lihat 100 jenis rama-rama yang diawet termasuk 40 daripadanya berasal dari luar negara.

“Di Malaysia, hanya rama-rama yang mati akan diawet. Bangkainya dijemur lebih kurang dua minggu supaya kering terlebih dahulu sebelum proses peng­awetan dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rama-rama dari luar negara, katanya, diperoleh daripada pembekal dan Muzium Serangga ha­nya bertanggungjawab membersihkan seni yang dipamerkan di muzium setiap enam bulan sekali bagi memastikan ia tidak rosak.

Tambah Roslyn Gina, purata 150 pengunjung dari dalam dan luar ne­gara melawat muzium ini.

Sementara itu, seorang pelancong dari Poland, Maciej Bereszynski, 33 berpendapat, seni rama-rama yang diawet itu sangat cantik dan unik.

“Ini pengalaman hebat dan mengujakan. Saya pertama kali melihat pelbagai serangga yang tidak terdapat di Poland ter­utamanya spesis rama-rama di sini.

“Muzium seni seperti ini pasti berjaya menarik lebih ramai pe­ngunjung lain,” katanya lagi.