Exco MTUC Pusat, Khairuddin Husup berkata, pertemuan itu dijadualkan diadakan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) bagi memberikan keadilan kepada semua pihak.

“Kita (MTUC) tidak akan pergi berjumpa dengan majikan di premisnya, kita akan ‘tarik’ bersama pekerja yang telah dibuang untuk berjumpa di JPPM. Di situ kita akan rasa ia lebih adil untuk pekerja.

“Tengah hari tadi selepas solat Jumaat ada segelintir pekerja yang telah dibuang dipanggil semula untuk berbincang bersama majikan. Kami belum tahu apa hasil perbincangan itu tetapi yang pasti sekarang majikan dah tahu dan sedar dia tersilap kerana tidak ikut prosedur sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai lebih 170 pekerja sebuah kilang mozek di Jalan Renggam, Kluang Johor menerima khabar buruk apabila perkhidmatan mereka ditamatkan secara mengejut.

Pemberhentian tanpa sebarang notis daripada pihak majikan kilang tersebut hanya diketahui pekerja pada Selasa lalu, iaitu sewaktu datang untuk memulakan kerja masing-masing.

Berdasarkan laporan akhbar itu, pihak majikan dilaporkan hanya menggunakan alasan untuk mengecilkan kos operasi kilang dan pemberhentian kakitangan perlu dilakukan.

Dalam pada itu, Khairuddin memberitahu, pihaknya sedang menunggu surat pengesahan pemberhentian kerja daripada kakitangan yang terlibat untuk tindakan lanjut.

“Saya tengah tunggu surat pengesahan diberhentikan kerja daripada pekerja yang terlibat dan hari Isnin nanti mereka akan hantar pada saya.

“Kita akan kumpulkan seberapa ramai yang terlibat, kita akan beri majlis penerangan berkaitan hala tuju ke mana kita akan bawa kes ini untuk diselesaikan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE