Itu pendapat yang dikongsi orang ramai kepada Utusan Malaysia semasa tinjauan penutupan laluan ber­kenaan kepada kenderaan milik persendirian pada hujung minggu lalu.

Pelaksanaan peraturan baharu yang sepatutnya menjadikan laluan tersebut lebih selamat dan selesa kepada pejalan kaki dilihat masih lagi ‘samar’.

Itu berikutan beberapa aspek yang masih kurang diberi perhatian khususnya ke­selamatan golongan pejalan kaki yang masih terdedah kepada risiko kemalangan akibat pemanduan tidak berhemah golongan pemandu teksi dan bas yang dibenarkan memasuki laluan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, walaupun orang ramai menyambut baik langkah penutupan jalan berkenaan, kaedah penguatkuasaan yang lebih bersistematik perlu dilakukan oleh anggota penguatkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Misalnya dengan menempatkan bilangan anggota penguatkuasa yang mencukupi di kawasan berkenaan untuk memantau pergerakkan dan kelancaran lalu lintas.

Orang ramai juga mahu pemandu bas dan teksi mematuhi peraturan mengambil dan me­nurunkan penumpang di lokasi yang ditetapkan dan tidak berhenti sesuka hati atau meletakkan kenderaan mereka terlalu lama di kaki lima jalan.

“Bila laluan ini ditutup kepada kenderaan orang ramai, pejalan kaki akan cenderung melintas sesuka hati sebab jalan sudah tidak sibuk.

“Ini sudah tentu bahaya dan perlu dipantau pihak berkuasa,’’ ujar pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Murshid.