Bagi pemilik Melewar Kitchen, Mohd. Zahrizan Jailani, masakan tradisional itu sememangnya menjadi pilihan utama pelanggan yang berkunjung ke restoran berkenaan.

"Memandangkan Negeri Sembilan cukup sinonim dengan masakan masak lemak cili api dan daging salai, maka kami memilih hidangan tersebut sebagai menu utama di restoran sekali gus menjadi pilihan pelanggan-pelanggan kami.

"Selain masakan daging salai dan masak lemak cili api, kami turut menyediakan ikan keli salai dan telur itik yang turut dimasak lemak cili api," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu menurut isterinya, Nur Lalila Alias, dia dan suami memulakan perniagaan tahun lalu dengan memperkenalkan masakan tempatan mengikut resepi warisan ibunya supaya menepati selera orang ramai khususnya masyarakat negeri ini yang sukakan masakan pedas.

Justeru ujarnya, pelanggan juga berpeluang menikmati masakan barat seperti spageti yang diubah suai menggunakan kuah masak lemak cili api dengan daging salai.

"Sebelum ini kita hanya dengar orang masak spageti dengan kuah carbonara atau bolognese namun di sini, pelanggan dapat menikmati spageti masak lemak cili api daging salai atau aglio olio daging salai," katanya.

Mengulas lanjut mengenai operasi restoran, Nur Alia menjelaskan Melewar Kitchen menyediakan menu 'a la carte' pelabagai jenis masakan yang bermula dari pukul 2 petang hingga 11 malam.

Bagi hidangan tengah hari, pelanggan dihidangkan dengan bufet masakan Negeri Sembilan yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 2 petang.

Katanya lagi, hiasan dalaman restoran itu mengetengahkan konsep moden yang boleh membangkitkan mood pelanggan untuk menikmati hidangan dalam suasana santai dan selesa.

Menyediakan lebih 100 hidangan autentik masakan kampung, Melewar Kitchen turut menyediakan hidangan pelbagai jenis sup, goreng-gorengan, pemanis mulut dan minuman berjus.

"Selain restoran, kami turut mengusahakan perniagaan katering untuk pelbagai majlis seperti sambutan hari jadi atau majlis keraian lain.

"Pelanggan juga boleh menyewa ruangan khas di atas restoran untuk adakan majlis pertunangan, perkahwinan dan sebagainya," katanya.

Beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan, restoran ini dibuka setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 11 malam.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman Facebook atau Instagram Melewar Kitchen atau hubungi 06-6752450. - UTUSAN ONLINE