Yang Diper­tuanya Mohd. Sayuthi Bakar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sentiasa memberi kerjasama dan komited memastikan mu­tu jalan raya di bawah seliaannya sentiasa dalam kea­daan baik.

“Setiap kakitangan terlibat menghadiri kursus berkaitan kerja-kerja turapan jalan raya yang merupakan syarat-syarat utama MPKj,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi memberi maklum balas berhubung dakwaan terdapat ‘orang dalam’ segelintir PBT di Selangor bersikap pilih bulu melantik kontraktor yang tiada kepakaran dan pengetahuan menjalankan kerja-kerja turapan jalan.

Sementara itu, YDP Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abd. Hamid Hussain pula menegaskan, mana-mana kon­traktor lantikan pihaknya gagal menjalankan kerja-kerja baik pulih jalan raya mengikut piawaian ditetapkan akan disenarai hitam.

“Selepas kerja-kerja turapan dilaksanakan, MPAJ akan menjalankan ujian khas bagi meneliti turapan tersebut. Jika kontraktor gagal dalam ujian itu, maka turapan perlu dilaksanakan semula atau jika berulang mereka akan disenarai hitam,” katanya.

Tambah Abd. Hamid, PBT itu turut menubuhkan skuad khas iaitu ‘Road Gang’ MPAJ untuk menjalankan kerja-kerja turapan segera jalan berlubang di kawasan pentadbirannya.