Ada yang rosak kerana menjadi mangsa vandalisme, tidak diselenggara dengan baik malah ada sengaja dihentikan operasi bagi tujuan penjimatan yang akhirnya membebankan hidup penduduk.

Apa pun puncanya, operasi lif sebagai ‘nadi’ utama pergerakan penduduk tidak seharusnya dihentikan. Apatah lagi apabila me­libatkan penghuni se­perti warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa Program Perumah Rakyat (PPR) di sekitar ibu kota mendapati ada sebahagian daripada kemudahan itu yang terganggu operasi sejak lebih 10 tahun kerana kegagalan pentadbiran oleh pemaju atau badan pengurusan bersama (JMB).

Lebih menyedihkan, mas­alah kerosakan yang kerap berlaku tidak hanya terhenti di situ bahkan mengundang sikap vandalisme yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan penduduk.

Menendang dan mencungkil butang lif, menitiskan air daripada plastik sampah bahkan ada yang sanggup ken­cing di dalam lif.

Kerosakan demi kerosakan itu akhirnya menyebabkan kemudahan berkenaan semakin sukar dibaiki dan akhirnya terbengkalai.

Pengalaman ngeri akibat ke­gagalan pihak bertanggungjawab menguruskan lif dikongsi penduduk PPR Salak Selatan, Norisham Abdul Ghani, 40, yang pernah terperangkap selama dua jam apabila lif terhenti operasi.

“Pengalaman itu sangat menakutkan. Apa akan jadi jika ia berlaku pada orang tua atau kanak-kanak.

“Disebabkan lif selalu rosak, maka ramai yang bertindak me­lakukan vandalisme,” katanya.

Syed Tahar Syed Abdul Kadir, 65, berkata, aduan demi aduan telah dibuat kepada persatuan penduduk dan kontraktor untuk menyelesaikan masalah itu namun hasilnya sia-sia.

“Lebih 10 tahun kami menderita akibat masalah lif kerana tiada kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan. Akhirnya penduduk juga yang menanggung derita,’’ katanya.

Penduduk PPR Desa Petaling, Jack Tan, 40, pula berkata, di mana-mana sahaja ada masalah vandalisme atau penyakit ‘gatal tangan’ kerana golongan itu tidak pernah memikirkan soal orang lain asalkan puas dengan tindakan mereka.

“Ada butang lif yang tidak lagi berfungsi kerana dikumpil sehingga menyusahkan penghuni yang terpaksa turun atau naik ke tingkat lain sebelum menggunakan tangga untuk ke rumah masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai merasakan sudah sampai masanya pihak berkuasa tempatan (PBT) campur tangan dengan memperketatkan pelaksanaan undang-undang mengenai operasi lif bagi memben­dung masalah itu daripada terus membarah.

Salah satu daripadanya adalah dengan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), mengambil tindakan kepada penghuni yang mempunyai tunggakan penyelenggaraan dan mengenakan tindakan tegas kepada pihak pengurusan kediaman yang gagal menjalankan tugas dengan baik.

Tanpa campur tangan pihak PBT khususnya daripada bahagian Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB), langkah memperkemaskan pentadbiran dan pengurusan di kediaman ber­tingkat pasti tidak akan bernoktah dan hanya sekadar garis panduan.