Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala berkata, usaha itu dilihat mampu merancakkan program pembangunan sukan termasuk dapat mengadaptasikan konsep pelancongan sukan menerusi agensi dibawah kementerian iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.

Menurutnya, dengan adanya kemudahan itu, atlet di ketiga-tiga wilayah dapat memberi fokus dalam latihan dengan lebih selesa serta membantu mempertingkatkan prestasi semasa atlet.

“Hala tuju Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) pada tahun akan datang adalah untuk melahirkan lebih ramai atlet dalam kalangan warganya yang boleh ber­aksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Untuk merealisasikan matlamat ini, usaha itu tidak hanya digalas berseorangan sebaliknya PBT harus memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pembangunan sukan ini,” kata­nya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan di sini.

Yang turut hadir Pengarah MSWP, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Rizman Isli dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Dalam pada itu, M. Loga berkata, anugerah itu bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua atlet, jurulatih, pengurus sukan dan atlet kurang upaya (OKU) yang berjaya menaikkan nama atas kejayaan sukan masing-masing.

“Anugerah ini diberikan sebagai menghargai komitmen dan khidmat bakti yang disumbangkan sepanjang tahun 2015 dan 2016 dalam arena sukan negara.

“Antara anugerah yang diberikan termasuk anugerah khas pasukan sukan, pegawai terbaik, pasukan terbaik, olahragawan dan olahragawati harapan Wilayah Persekutuan serta anugerah jurulatih terbaik,” jelasnya.