Keadaan sesak dan hiruk pikuk suara peniaga terus kedengaran untuk menarik pelanggan di tengah-tengah pasar berusia lebih 60 tahun itu membeli barangan keperluan.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar yang juga dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu hari ini mendapati suasana persekitarannya agak sibuk berbanding hari biasa.

Bukan sahaja di dalam pasar apabila masing-masing bersesak-sesak memilih barangan keperluan seperti ikan, ayam dan da­ging, tetapi juga sayur-sayuran dan buah-buahan.

Berdasarkan pemerhatian, harga barangan basah seperti ayam masih dalam kawalan dan tidak banyak berubah dari bulan lalu.

Tiada kenaikan melambung walaupun Ramadan hampir tiba apabila harga ayam masih RM8 sekilo manakala santan dijual pada harga RM7 sekilo.

Suasana sibuk itu tidak hanya di dalam pasar, tetapi turut dirasai sepanjang Jalan Raja Bot sehingga ke Jalan Chow Kit apabila kende­raan tidak putus-putus keluar masuk.

Rata-rata pelanggan yang ditemui mengakui pasar berkenaan menjadi tumpuan mereka untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Selain harga ditawarkan lebih rendah, barangan yang dijual lebih kualiti, segar dan mempunyai lebih banyak pilihan.

Turut menjadi faktor persekitaran pasar lebih bersih dan teratur.