Program anjuran Persatuan Kebajikan Jalinan Kasih Setiawangsa (PKJKS) adalah bertujuan untuk membantu golong kurang berkemampuan selain membentuk masyarakat yang saling tolong-menolong serta harmoni.

Pengerusinya, Muhamad Hasbullah Maulana berkata, program seumpama itu diadakan buat julung kalinya sebagai program perintis hasil usahasama masyarakat setempat.

“Semasa program itu, kita menyediakan perkhidmatan potong rambut, jamuan makan, sumbangan kepada golongan asnaf dan pemberian barang keperluan harian seperti ikan, beras, bawang dan tepung gandum kepada mereka yang hadir.

“Semua itu diberikan secara percuma kepada mereka dan ianya hasil daripada kutipan dana dan sumbangan orang,” katanya di sini baru-baru ini.

Terdahulu Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad merasmikan program tersebut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Muhamad Hasbullah berkata, program tersebut akan diperluaskan pada masa akan datang kerana untuk membantu lebih ramai lagi golongan yang kurang berkemampuan.

“Program ini diadakan secara serentak dan ia mampu dimanfaatkan semua golongan baik di peringkat kanak-kanak hingga dewasa,” katanya.