Demikian suasana apabila menapak ke pasar pagi ‘Sunday Market’ di Desa Temuan, Bandar Damansara Perdana di sini yang beroperasi sebulan sekali iaitu pada setiap Ahad minggu kedua dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Batu 12 Gombak, Adillawati Unchut berkata, aktiviti berniaga hasil hutan dan cucuk tanam sudah tidak asing bagi komuniti Orang Asli di daerah Gombak.

Katanya, peluang menyertai ‘Sunday Market’ di Petaling Jaya ini adalah bagi menarik minat warga di Desa Temuan untuk cuba berjinak untuk menjual lebihan hasil hutan yang diperoleh sebagai mata pendapatan baharu.

Sementara itu, bagi penjaja kraftangan, Uda Angah, 42, berkata, kesempatan berniaga hasil sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sewajarnya di manfaat agar mudah hasil kraftangan masyarakat Orang Asli dipasarkan.

“Sebelum ini orang luar terpaksa masuk ke perkampungan kami bagi mendapatkan barangan kraf seperti bakul rotan, tikar mengkuang serta bubu buluh atau daripada rotan yang amat tinggi permintaannya,” katanya.

Turut tidak melepaskan peluang, pemborong sayur dan hasil hutan, Ahoi Embong, 45, sanggup mengangkut hasil tanamannya dari ladang di Kampung Parieh, Bentong, Pahang untuk sama memeriahkan pasar pagi tersebut.

Katanya, perasaannya terlampau teruja sebaik mendengar terdapat pasar pagi yang khusus diperuntukkan kepada Orang Asli untuk jinak bertapak dalam perniagaan menjaja ini.

“Semua yang saya bawa ke sini segar dan baru dipetik sahaja antaranya pucuk paku, daun sirih, daun pisang, serai, bunga kantan, ubi kayu, pucuk keledek dan pelbagai lagi ulaman dan akar kayu hutan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE