Antara barangan yang menjadi tarikan utama dalam pameran bertemakan ‘Simbol Kekuasaan dan Keindahan: Koleksi Muzium Kesenian­ Islam Malaysia’ itu termasuklah replika pedang milik Nabi Muhammad SAW.

Turut dipamerkan replika pedang para sahabat seperti Khalifah Uthman ibn Affan, Khalid ibn al-Walid dan Jaafar al-Tayyar.

Pengurus Projek dan Penerbitan pameran tersebut, Zulkifli Ishak berkata, pelbagai aksesori senjata serta perisai yang menjadi sebahagian daripada kelengkapan perlindungan­ tentera dan golongan raja turut dipamerkan.

“Selain itu sebuah lukisan Putera Mahkota Qajar Abbas Mirza dengan saiz sebenar yang dihasilkan sekitar tahun 1835 hingga 1840 merupakan antara objek yang menjadi tumpuan­ pengunjung.

“Bagi zaman kesultanan Melayu,­ keris perak Sultan Abdul Jalil dipersembahkan bagi menyingkap kisah keturunan kesultanan Melaka-Johor,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Melalui pameran yang julung-julung kali diadakan itu Zulkifli berkata, pihaknya turut menerbitkan sebuah katalog yang memaparkan lebih 200 artifak berkaitan senjata dan perisai daripada koleksi muzium itu.

“Penerbitan ini memperlihatkan kesenian hasil kerja tangan yang terdapat pada pelbagai senjata di seluruh dunia selain merungkai maksud di sebalik tandatangan, simbol mahupun tulisan pada setiap artifak.

“Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan katalog berharga RM120 tersebut boleh berkunjung ke MKIM,” katanya.