Kurator Muzium Etnologi Dunia Melayu JMM, Raja Suriaty Raja Ahmad berkata, pameran di Muzium Negara yang bermula 21 November lalu hingga 30 April ini itu dianjurkan dengan tujuan menyalurkan maklumat kepada masyarakat berhubung sejarah dan falsafah alat muzik tradisional itu.

“Selain itu, pameran yang julung kalinya diadakan ini juga adalah untuk mengangkat gambus sebagai alat muzik tradisional yang melambangkan budaya seni warisan negara,” katanya ketika ditemui.

Menurut Raja Suriaty, selaras dengan usaha memartabatkan gambus sebagai instrumen bertali tertua di dunia, pihaknya tampil mempamerkan pelbagai bentuk peralatan muzik tersebut menerusi kehalusan seni pembuatan yang dihasilaan tokoh-tokoh terkemuka gambus.

“Pameran ini juga turut melibatkan penyertaan dari negara Arab seperti Yemen, Iraq dan Mesir yang sangat popular dengan irama muzik tradisional itu,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 68 gambus dan 300 aksesori berkaitan dipamerkan menerusi penglibatan daripada pelbagai agensi dan institusi seperti Jabatan Muzium Sabah, Yayasan Warisan Johor, Universiti Malaya, Pertubuhan Gambus Malaysia dan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah.

Pengunjung juga katanya, boleh mengenali jenis gambus serta aksesori berkaitan bersama nota dan lagu yang dimainkan menggunakan alatan tersebut.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Gambus Malaysia, Raja Zulkarnain Raja Yusof berkata, usaha JMM dalam mengadakan pameran tersebut adalah wajar bagi menyemarakkan lagi keunggulan gambus yang kini dilihat semakin sirna dalam kalangan masyarakat.

Raja Zulkarnain berkata, mengambil kesempatan terhadap pameran tersebut, pihaknya menawarkan kelas pengajian secara percuma untuk orang ramai mempelajari alat tersebut.

“Dalam hasrat mewariskan alat tradisional ini kepada belia, kami menawarkan kelas pengajian supaya gambus dihubungkan dengan generasi baharu bagi tujuan menyampaikan mesej melalui irama muzik yang dimainkan,” katanya.