Hal ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) berpendapat, pelaksanaan subsidi secara pukal selama ini telah mengakibatkan berlakunya ketidakadilan apabila nikmatnya turut dirasai golongan berpendapatan tinggi selain warga asing dan pelancong.

Justeru, inisiatif mewujudkan subsidi bersasar seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selain program bantuan khas untuk golongan nelayan, pekebun kecil dan pesawah dilihat lebih memberi manfaat dan menguntungkan rakyat.

Suatu perkara yang perlu ditegaskan adalah, penetapan harga runcit RON95, RON97 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal secara mingguan berbanding bulanan sebelum ini adalah cadangan dan desakan daripada bekas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang berkata, rakyat akan dapat menikmati harga petrol jauh lebih rendah.

Namun begitu, manifesto Pakatan Harapan diketuai DAP yang menggariskan aku janji untuk memberikan subsidi minyak kepada golongan berkelayakan bagi kegunaan motosikal di bawah 250cc dan kereta di bawah 1,000cc umpama menurunkan taraf manfaat yang telah diberikan BN sebelum ini.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Yusof Saari mendakwa, manifesto ketujuh pembangkang itu jika dilaksanakan kelak bakal mewujudkan situasi ‘diskriminasi’ terutamanya kepada keluarga besar yang berpendapatan rendah di kawasan bandar.

Selain itu, ujarnya, ketetapan yang digariskan juga dibimbangi akan mengakibatkan berlakunya ketidakseimbangan kepada kawasan yang menerima manfaat kerana penduduk bandar lebih berminat menggunakan kenderaan kecil dan jimat minyak berbanding penduduk kawasan pedalaman.

“Mana mungkin keluarga besar berpendapatan rendah akan menggunakan kenderaan 1,000cc, sekurang-kurangnya mereka akan menggunakan kenderaan besar dan selesa. Saya tidak rasa manifesto ini merupakan langkah terbaik dalam membantu rakyat menangani masalah ketidaktentuan harga minyak, lebih baik jika wujudkan sahaja subsidi minyak berbanding pengelasan seperti ini.

“Jika dilihat secara kasar inisiatif ini baik, namun hakikatnya sukar untuk dilaksanakan dan adalah lebih baik jika Pakatan Harapan tidak melaksanakannya dengan memberi penumpuan kepada aspek yang lebih penting seperti pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Yusof berkata, hakikat yang perlu diterima ketika ini adalah rakyat sebenarnya sudah boleh menerima keputusan kerajaan untuk menghapuskan subsidi minyak kerana harga bahan bakar itu di pasaran masih lagi mampu miliki. - UTUSAN ONLINE