Pengerusi Persatuan Penduduk PA Seri Pahang, Marhisyam Hashim, 58, melahirkan rasa syukur kerana hasrat memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Menurutnya, pembangunan semula pangsapuri PA Seri Pahang sememangnya dinantikan penduduk ekoran keadaan kediaman itu yang semakin uzur kerana pangsapuri itu merupakan antara yang tertua di ibu negara.

“Sebagai warga kota di Bangsar, saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat terutamanya Kementerian Wilayah Persekutuan kerana mendengar suara dan keluhan kami,” kata­nya dalam majlis penyerahan surat tawaran unit pangsapuri yang akan dibangunkan itu.

Pembangunan semula unit pangsapuri moden itu akan dilaksanakan di tapak Blok C1 dan C2 perumahan berkenaan yang bakal dirobohkan dalam masa terdekat.

Kediaman baharu PA Seri Pahang yang berkeluasan 800 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air ditawarkan pada harga RM42,000 seunit.

Seorang penduduk, Zamiah Abd. Hamid, 42, berkata, pengumuman pembangunan semula itu satu berita yang ditunggu-tunggu penduduk ekoran pelbagai masalah penyelenggaraan flat yang timbul.

Katanya, sudah tiba masanya penduduk asal di PA berkenaan menerima pembelaan yang serupa seperti penduduk di Kampung Kerinchi yang diberikan unit rumah baharu iaitu Residensi Ke­rinchi.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, tawaran menduduki kediaman itu hanya layak bagi mereka yang menghuni perumahan itu sebelum 31 Disember 2014.

Menurutnya, ca­da­­­ng­an pembangunan se­mula perumahan itu dikemuka­kan kepada kerajaan sejak 2015 selepas mengambil kira keadaan pangsapuri dan penduduk yang memerlukan kemudahan lebih baik seiring dengan pembangunan pesat di Bukit Bangsar.

“Fasa pertama akan melibatkan pembinaan sebanyak 843 unit kediaman, manakala fasa kedua sebanyak 174 unit. Pembangunan semula ini dijangka siap menje­lang 2022,” katanya.

Majlis penyerahan surat tawaran disempurnakan oleh Pe­ngarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff kepada 798 penyewa.