Mereka menggunakan laluan pejalan kaki bermula dari stesen Monorel Brickfields atau KL Sentral untuk berurusan di bangunan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Jalan Tun Sambanthan 4.

Bagaimanapun sejak awal tahun lalu, orang buta di sekitar Brickfields terdedah risiko kemalangan apabila kerja-kerja naik taraf laluan pejalan kaki di kawasan itu didakwa sehingga ke hari ini belum siap.

Difahamkan projek di bawah kendalian DBKL itu dilaksanakan sejak lebih setahun lalu di beberapa kawasan termasuk di Jalan Thambypillai, Jalan Sultan Abdul Samad dan Jalan Tebing.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut mendapati, rata-rata pengguna terutama orang buta melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka sepanjang menggunakan laluan itu untuk ke bangunan MAB.

Sambil mempersoalkan status bila kerja-kerja nak taraf itu di­siapkan, mereka turut berharap ia dapat disegerakan bagi kemudahan dan keselesaan. Berdasarkan pemerhatian, kerja-kerja naik taraf yang dilakukan serentak di kedua-dua laluan kanan dan kiri jalan itu jelas menyukarkan pergerakan golongan itu.

Walaupun kon dan jaring keselamatan dipasang di tapak projek, ia dilihat belum mencukupi.

Longgokan bahan binaan, lubang yang tidak ditutup selain terdapat kon yang terjatuh boleh mendedahkan orang buta kepada bahaya.