Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew berkata, pelaksanaan cadangan melibatkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) itu bakal direalisasi selewat-lewatnya bulan depan.

“Kita akan lihat dulu tempat-tempat yang sesuai supaya orang awam boleh hadir dan memerhati perjalanan mesyuarat induk melibatkan setiap Ahli Majlis PBT ke­rana rakyat berhak untuk me­ngetahui proses perbincangan, dengan syarat perlu memaklumkan kepada kami sehari sebelum itu bagi proses penyediaan tempat.

“Perkara ini masih dalam pro­ses cadangan dan saya rasa tiada halangan untuk kita mendapatkan persetujuan Ketua Menteri, Adly Zahari dan seterusnya me­laksanakan usaha tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Obor Program Larian Obor APMG Penang 2018 di Dewan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Mustaffa Ali dan bekas pelari pecut negara, Datuk Rabuan Pit.

Mengulas lanjut, Kok Kiew memberitahu, cadangan itu bertujuan meemperlihatkan kepada masyarakat berhubung cara pentadbiran kerajaan yang mahu berusaha menjadi lebih telus kepada rakyat.

“Saya tidak tahu sekiranya dahulu inisiatif ini pernah dilakukan ataupun tidak kerana tiada sebarang pengumuman yang dibuat, tetapi kali ini kita akan umumkan (sekiranya kerajaan negeri bersetuju) dan memastikan segala­nya adalah lebih sistematik.

“Bagaimanapun, orang awam yang hadir hanya boleh memerhati sahaja kerana sudah ada Ahli Majlis yang hadir mewakili penduduk di kawasan mereka untuk menyampaikan suara masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau me­negaskan, PBT adalah institusi yang amat penting kerana ‘kedudukannya’ yang dekat dan akrab dengan rakyat.

Oleh itu katanya, penilaian tahap perkhidmatan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.

"Perkhidmatan baik yang diberikan PBT kepada masyarakat memberi impak kepada kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri. Segala tindakan PBT berlandaskan kehendak dan mesra penduduk.

“Selain itu, kita juga memberi penekanan dalam pengurusan kewangan kerana setiap ringgit yang digunakan kerajaan adalah hasil titik peluh rakyat daripada cukai yang dikutip. Sebarang perbelanjaan mesti dikawal bagi memastikan hasilnya sentiasa dipulangkan kepada rakyat,” ujarnya.