KTMB memaklumkan, lanjutan itu bermula Sabtu ini hingga 30 Ogos sebagai inisiatif menyediakan kemudahan pengangkutan awam kepada orang ramai yang hadir menyaksikan acara berkenaan.

“Tren tambahan akan disediakan bagi empat laluan dengan satu tren perkhidmatan tambahan untuk setiap laluan selepas jadual waktu tren akhir tamat.

“Bagaimanapun, hanya enam buah stesen sahaja yang akan beroperasi untuk penjadualan token perjalanan iaitu di stesen KL Sentral, Kuala Lumpur, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Sungai Buloh dan Subang Jaya,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, bermula 16 Ogos hingga 16 September ini, Kad Komuter Link akan diberi percuma kepada para pengguna KTMB di semua kaunter tiket perkhidmatan berkenaan.

“Pengguna hanya perlu membuat tambahan nilai bermula RM5 untuk mengaktifkan kad tersebut sebelum digunakan.

“Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan ini boleh membuat pertukaran tren di stesen KTM Bandar Tasik Selatan dan menyambung perjalanan dengan Transit Aliran Ringan (LRT) untuk ke Stadium Negara,” menurut kenyataan itu.

Pengguna dinasihatkan menggunakan kad Komuter Link atau Touch n Go bagi memastikan kelancaran perjalanan terutama pada waktu pulang tanpa perlu beratur di kaunter tiket. - UTUSAN ONLINE