Pelancaran perkhidmatan basikal sewa oBike yang boleh diakses melalui aplikasi telefon pintar merupakan antara usaha yang dilihat berpotensi mengurangkan pembebasan karbon dioksida terutama di kawasan bandar.

Tapi pelaksanaan oBike yang pada awalnya dihujani pujian ternyata berdepan dengan pelbagai isu seperti kelemahan cara operasi dan sikap pengguna yang tidak bertanggungjawab sehingga menjadikan perkhidmatan itu seolah-olah ‘basikal percuma’.

Edisi terjah kali ini melihat nasib yang menimpa perkhidmatan itu yang menjadi mangsa naluri vandalisme.


KUALA LUMPUR 1 mac.  -  Tidak bertanggungjawab dan tiada kesedaran sivik! Itu gambaran yang mencerminkan sikap segelintir warga kota yang menggunakan kemudahan Perkhid­matan Perkongsian Basikal Tanpa Stesen (oBike) di sekitar ibu kota. 

Tinjauan Utusan Malaysia di­ beberapa kawasan tum­puan pe­lancong di sini mendapati per­khidmatan yang diperkenalkan tahun lalu itu kini dalam keadaan yang semakin menyedihkan.

Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan perkhidmatan itu bakal ‘berkubur’ tidak lama la­gi akibat vandalism.

Di sekitar Pasar Seni, Persiaran KLCC dan Jalan Sultan Ismail, basikal berwarna kuning dan kelabu itu bukan sahaja banyak ditemui tersadai bahkan ada yang dihumban ke dalam longkang, terbiar rosak dan ada juga yang diguna seperti milik sendiri.

Bahkan kelibat warga asing yang mengayuh basikal itu ke hulu ke hilir di sekitar tapak pembinaan sudah menjadi permandangan biasa. Dalam kalangan warga kota ada yang secara sinis menggelar basikal itu sebagai ‘basikal percuma’.

Selain itu, jumlah basikal di lokasi pengumpulannya juga semakin ber­kurangan dengan begitu ke­tara berbanding ketika perkhidmatan itu mula diperkenalkan.

Keadaan itu berpunca daripada sikap pengguna yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab bahkan tidak memahami kaedah penggunaannya.

Kegagalan orang ramai mematuhi kaedah penggunaan Obike dan tidak memandang serius aspek pematuhan penggunaannya memburukkan lagi kea­daan.

Tinjauan juga mendapati sam­bu­tan terhadap perkhidmatan itu sema­kin tidak popular dalam kalangan pelancong asing yang mungkin tidak lagi ya­kin untuk menggunakan basikal itu.

Walhal jika digunakan dengan baik, perkhidmatan itu mampu memberi manfaat kepada orang ramai khususnya pelancong dan mereka yang tidak mahu bergelut dalam kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Dengan adanya kemudahan la­luan basikal sepanjang 11.9 ki­lometer yang dibina dengan kos RM4 juta di ibu kota, perkhidmatan basikal sewa seperti itu sebenarnya mampu mencapai matlamat sebagai pilihan mod pengangkutan yang praktikal.

Atau mungkin pelaksanaan yang sudah lama popular di negara-negara maju itu masih ‘terlalu awal’ untuk dilaksanakan di negara ini dan memerlukan pengemaskinian semula cara operasi.