Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar sekolah itu Sabtu lalu mendapati, struktur jalan yang curam sepanjang 500 meter di hadapan sekolah boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya kenderaan meluncur laju tanpa dikawal baik oleh pemandu.

Malah difahamkan, di bahagian hujung laluan curam berkenaan terdapat dua bangunan projek pembinaan yang dipercayai menggunakan banyak kenderaan berat.

Wartawan akhbar ini turut ‘menguji’ kecuraman laluan berkenaan dan mendapati kelalaian pemandu serta kegagalan memastikan brek kereta berfungsi dengan baik, boleh mengundang risiko terutama kepada pelajar di situ.

Seorang kontraktor yang mahu dikenali sebagai Shafie, 40, ketika ditemui berkata, kejadian lori meluncur sendiri pernah berlaku di kawasan itu selepas kenderaan yang diletakkan di bahu jalan menggelungsur tanpa pemandu sejauh 100 meter akibat kecerunan jalan tersebut.

Menurutnya, keadaan itu berlaku selepas pemandu lori yang membawa muatan konkrit itu singgah di kedai makan berhampiran untuk makan tengah hari.

“Walaupun pemandu sudah menarik brek tangan, lori itu tetap bergerak sendiri dan hanya terhenti di satu selekoh. Mujurlah, tiada sebarang insiden buruk berlaku,” katanya.

Dalam kejadian tragis pada pukul 12.50 petang Khamis lalu itu, dua pelajar sekolah berkenaan maut dan dua cedera apabila sebuah ‘lori hantu’ yang sarat dengan barangan pembinaan merempuh mereka.

Kejadian itu berpunca akibat kegagalan seorang pemandu yang tidak dikenali mengawal kenderaan tersebut semasa menuruni kawasan bukit sebelum merempuh puluhan kenderaan lain yang kebanyakannya adalah motosikal milik pelajar sekolah berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan berdekatan yang mahu dikenali sebagai Ng, 54, mendakwa, dia kerap melihat ‘lori hantu’ menggunakan laluan di kawasan projek pembinaan berdekatan.

“Kejadian memang tidak diduga dan mengejutkan ramai pihak. Saya harap pihak berwajib mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengelak perkara sama berulang kembali,” katanya

Ng bagaimanapun turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang membenarkan pelajarnya meletak kenderaan di luar kawasan sekolah sesuka hati.

“Kenapa pihak sekolah benarkan pelajarnya meletak motosikal mereka di luar kawasan sekolah? Apabila sesuatu kejadian malang berlaku, kita nak salahkan siapa?” katanya.

Dalam pada itu, hasrat Utusan Malaysia mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak sekolah berhubung kejadian gagal kerana pengawal keselamatan sekolah terbabit tidak membenarkan.

Walaupun Sabtu bukan waktu persekolahan, namun kelihatan beberapa orang guru berada dalam sekolah berkenaan selain beberapa anggota polis berdekatan kawasan insiden.