Kini, semua nostalgia ketika fenomena industri penerbitan kartun dan majalah komik pasti terubat sebaik memasuki perut Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) di Taman Botani Perdana di sini yang sarat de­ngan himpunan lebih 500 karya kartunis dari zaman ke zaman.

Pengasas RKKM, Mohd. Desa Omar, 52, atau dikenali sebagai Juragan berkata, rumah seakan galeri itu menjadi saksi sejauh mana perkembangan industri komik negara bertapak dan satu usaha bagi memelihara dan memartabatkan naskah asli lakaran kartunis yang berjaya mencuit jutaan pembacanya.

Katanya, rumah seluas kira-kira 1,200 kaki persegi itu berperanan sebagai sumber rujukan akademik pelajar bidang seni halus mahupun grafik untuk lihat secara dekat karya asli lebih 50 kartunis termasuk nama-nama besar seperti Allahyarham Jab Had (Rejabhad), Jaafar Taib, Datuk Lat, Halim Teh, Raja Hamzah dan ramai lagi.

“Kita juga mahu menyumbang kepada sektor pelancongan seperti muzium-muzium kartun di negara luar bagi memenuhi selera pelancong yang mencari karya kartun dan komik tempatan yang secara tidak langsung dapat mempromosikan identiti unik produk kartun negara.

“Kartun dan masyarakat Malaysia sudah sebati sejak mula ia diterbitkan sekadar hiburan dalam akhbar-akhbar tempatan sebelum mencetus fenomena sekitar 1980-an sehingga mampu terjual lebih 400,000 bagi satu-satu edisi komik,” katanya yang masih aktif mencorak idea komik hingga kini.

RKKM mula dibuka buat orang ramai pada Sabtu lalu sempena Hari Kartunis Negara yang diraikan julung kalinya pada 1 April tahun ini. Dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang manakala pada hujung minggu dan cuti umum dilanjutkan ke pukul 5 petang dengan bayaran RM10 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak).

Menurut Juragan, tidak sukar mengumpul karya kartun dan komik asal kerana me­nerima sokongan padu daripada pengumpul yang teruja memandang­kan ianya usaha pertama dilakukan kepada kartunis tempatan.

Beliau turut terkilan kerana banyak karya kartun semasa era perang sekitar 1940-an ke 1950-an sudah tidak dapat dikesan kerana dipercayai telah dibawa pulang oleh pihak Jepun.

Sementara itu, seorang lagi kartunis, Mohd. Tarzidi Yusof, 58, berkata, kehadiran RKKM diharap dapat membuka mata ramai pihak mengenai sumba­ngan industri kartun dan komik kepada negara yang sebelum ini sering dipandang sepi hala tujunya.

“Bergelar pelukis atau kartunis sebenarnya mampu mengecap kejayaannya apabila daya kreatif yang dimiliki bersama bakat boleh dikembang ke pelbagai medium sebagai contoh bidang pengiklanan,” katanya.