Kini Orang ramai berpeluang mengimbau kembali iklan sebutan ramai saban tahun apabila Petronas melancarkan pameran #tanahairku: Dua Dekad Menyemai Perpaduan Nasional di Galeri Petronas, KLCC baru-baru ini.

Mempamerkan 21 iklan te­levisyen untuk musim perayaan sepanjang 20 tahun lalu, pameran menyorot kembali perpaduan antara masyarakat dan keharmo­nian sosial yang merupakan ke­kuatan negara sejak dahulu lagi.

Pengurus Besar Kanan Petronas, Komunikasi Strategik Kumpulan, Zahariah Abdul Rahman berkata, Petronas merupakan satu-satunya organisasi yang menerbitkan iklan untuk semua perayaan berbilang kaum dan budaya.

“Petronas sentiasa berusaha untuk menyemai dan menghidupkan nilai-nilai murni dalam kepelbagaian tradisi dan budaya untuk dikongsi bersama.

“Pameran #tanahairku bukan hanya satu slogan, ia sebenarnya menunjukkan rasa cinta dan penghargaan kepada kepelbagaian kaum yang hidup dalam keharmonian,” katanya ketika berucap dalam majlis pembukaan pameran itu baru-baru ini.

Yang turut hadir adalah Pengarah Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim.

#tanahairku: Dua Dekad Me­nyemai Perpaduan Nasional membawa pelawat menelusuri liku-liku perjalanan yang menggamit perasaan pengunjung menerusi enam tema iaitu Proud to be Malaysian, Our Diversity Makes Us Beautiful, What’s Life Without Love?, A Lifetime of Friendship, Kerna Kita Satu Sama Dipunyai dan Negaraku Po­wered by the People.

Pengunjung akan dibawa kembali ke lewat 90-an dengan iklan pertama Petronas sempena Hari Merdeka yang bertajuk The Li­ttle Indian Boy, sebuah singkapan memori seorang lelaki India bersama bapanya sewaktu menyaksikan hari bersejarah pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957.

Antara iklan televisyen yang mencuit perasaan termasuk “Tan Hong Ming, Karate, Race, Kawan Baik” iaitu video pendek seorang budak lelaki Cina yang meluahkan rasa cintanya kepada kanak-kanak perempuan Melayu, Ummi.

Iklan Deepavali pertama bertajuk Plastic Bowl yang diterbitkan pada 1996 turut menarik perhatian pengunjung selain iklan 7 Sons & A Cow yang disiarkan sempena Aidilftiri pada 2003 dan pelbagai lagi.

Pameran yang dibuka kepada orang ramai sehingga 7 Februari ini turut mempamerkan 10 hasil seni lukis oleh 22 pelukis jalanan tempatan dari Johor, Sabah dan Sarawak.