Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada penyandang, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan yang bersara wajib Mei tahun lalu yang kemudian dipangku Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali sehingga pelantikan baharu awal tahun ini.

Noraini sebelum ini pernah menjawat jawatan sama ketika menerajui Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) hampir 11 tahun serta mempunyai pengalaman luas lebih 25 tahun dalam bidang perancangan pembangunan.

Pelantikan beliau itu menjadikannya wanita kedua menerajui pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar di Selangor selepas Datin Paduka Alinah Ahmad ketika bergelar Datuk Bandar Petaling Jaya pada 2013.

Majlis angkat sumpah dan menandatangani watikah perlantikan selaku Yang Dipertua MPSJ ke-7 itu turut disaksikan barisan Ahli-Ahli Majlis serta pengurusan tertinggi MPSJ di ibu pejabatnya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE