Beliau berkata, jumlah sumbangan perniagaan baharu untuk semua sijil yang digabungkan pada 2019 dijangka melebihi paras RM5 bilion berbanding RM4.91 bilion yang diraih pada 2018.

Katanya pertumbuhan itu akan disokong oleh kadar penembusan pasaran yang lebih tinggi, diukur oleh jumlah sijil takaful keluarga yang berkuat kuasa dengan jumlah penduduk Malaysia, diunjurkan berkembang kepada antara 16 dan 17 peratus pada tahun ini berbanding 15.2 peratus dicatatkan sehingga 31 Disember 2018.

“Semua pengendali takaful menyediakan produk yang memenuhi keperluan awam. Kempen telah dilaksanakan, kesedaran telah diwujudkan dan banyak aktiviti (promosi) telah dilaksanakan dengan rakan kongsi kami. Ini akan membantu meningkatkan perniagaan baharu dan kadar penembusan,” katanya pada sidang media mengenai prestasi industri itu bagi 2018 di sini hari ini.

Ditanya mengenai kadar penembusan yang perlahan, yang jauh daripada 25 peratus disasarkan di bawah Pelan Tindakan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2011-2020, katanya: “Ia mencabar; bagaimanapun, kami akan terus berusaha untuk mencapainya.

“Ini (kadar penembusan rendah) disebabkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat di mana mereka tidak meletakkan perlindungan takaful sebagai keutamaan,” katanya.

Muhammad Fikri berkata, industri itu mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun dalam nilai perlindungan takaful sebanyak 14.5 peratus pada tahun lepas berbanding RM283.1 bilion dicapai pada 2017.

Sementara itu, sumbangan perniagaan baharu untuk semua sijil yang digabungkan pada 2018 meningkat sebanyak 13.1 peratus tahun ke tahun berbanding RM4.35 bilion yang diraih pada 2017.

“Prestasi industri takaful yang memberangsangkan itu mencerminkan pemahaman yang meningkat dengan konsep takaful dalam kalangan rakyat Malaysia yang dapat dilihat daripada penerimaan perlindungan takaful yang lebih baik sebagai pilihan untuk perlindungan.

“Secara keseluruhannya, industri takaful menambah 699,534 pemegang sijil baharu, menunjukkan peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding 668,657 sijil baharu yang dikeluarkan pada 2017,” katanya.

Sumbangan tahunan perniagaan baharu mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 4.1 peratus pada tahun lepas manakala sumbangan tunggal perniagaan baharu melonjak kepada 16.6 peratus. - BERNAMA