Pengalaman yang seronok itu dirasakan penulis serta 20 orang pengamal media ketika menyertai program [email protected] ESPEK di Ladang Risda Kg. Ulu Slim, Perak selama dua hari, baru-baru ini.

Menerusi program pertama itu dan akan dijadikan produk pelancongan selepas ini, peserta diberi peluang untuk mencuba pelbagai aktiviti menarik seperti menunggang All Terrain Vehicle (ATV), jungle trekking, flying fox serta mengunjungi kampung-kampung orang asli sambil menghulurkan sumbangan berupa barangan harian.

Lebih menarik, peserta dapat merasai pengalaman bermalam di dalam kabin berkonsepkan inap desa yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti enam buah katil, pendingin hawa, kipas angin serta bilik air.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin memberitahu, pengunjung pasti meninggalkan memori yang tidak dapat dilupakan sekiranya mengunjungi tempat tersebut.

“Jarak perjalanan sejauh 114 kilometer dari Kuala Lumpur bukan menjadi penghalang kepada warga kota dan pelancong untuk merasai keseronokan berada di pusat Ecotourism ESPEK Ulu Slim.

“Kepada orang ramai yang berminat untuk merasai pengalaman manis dengan melakukan aktiviti di Ecotourism ESPEK, mereka boleh menghubungi talian 03-42704071 atau layari laman web www.espek.com.my untuk maklumat lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE