Antara masakan yang sangat sinonim dengan negeri Hang Tuah ini adalah ‘Asam Pedas’ yang sememangnya popular dalam kalangan pengunjung selain sajian harian bagi masyarakatnya.

Terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar raya Melaka, warung Asam Pedas Azizah di jeti nelayan Pantai Siring, Pulai pastinya menawarkan keaslian rasa masakan itu yang membuatkan penggemar asam pedas tidak dapat melupakannya.

Ada pengunjung tempatan malah dari luar yang sanggup mengharungi perjalanan dari jauh semata-mata untuk menikmati keenakan asam pedas ikan mayong di kedai berkenaan.

Warung yang beroperasi seawal pukul 11 pagi hingga 3 petang itu menawarkan masakan asam pedas menggunakan ikan segar hasil tangkapan nelayan berdekatan jeti di situ yang baru ‘naik dari laut’.

Menurut pemilik warung, Azizah Hasan, 42, berkata, resepi yang dipelajari daripada arwah ibu mertua, Sapiah Tengah menggunakan bahan asas yang sama iaitu iaitu cili kering, asam jawa, ketumbar, jintan, halia, bawang merah dan bawang putih.

Katanya, bahan-bahan masakan yang digunakannya sejak lima tahun lalu adalah bahan asas yang sama, namun rasa kuah itu lebih menyerlah kerana kualiti ikan dan cara masakan mengikut resipi masing-masing.

“Bagi kuah untuk jenis ikan mayong dan ikan pari, daun kesum digunakan dalam masakan itu bagi menghilangkan bau hanyir manakala untuk ikan-ikan lain saya gunakan daun limau purut.

“Selain itu petua masakan lebih sedap ialah asam pedas itu dimasak cara kawah yang menjadikan bahan-bahannya lebih sebati sehinggakan adakalanya pelanggan akan menghirupnya begitu sahaja,” katanya.

Azizah berkata, setiap hari jualan asam pedas dia akan membeli sekurang-kurangnya 22 kilogram ikan mayong dan kebiasaannya antara 18 hingga 20 ketul kepala ikan habis terjual.

Katanya, kebiasaan bekalan ikan segar hasil tangkapan nelayan-nelayan itu akan dibeli pada pukul 9 pagi, setiap hari bagi mengekalkan rasa segar dan manis dalam sajian asam pedas di warung.

Tambahnya, harga lauk asam pedas dijual serendah RM8 untuk isi hingga RM35 untuk bahagian kepala ikan mayong di samping ikan goreng dan ulam-ulaman. - UTUSAN ONLINE