Pensyarah Kanan Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr.Mohd Izhar Ariff berkata, ibadah korban perlu dilakukan dengan sempurna dari setiap perkara termasuk dari segi kualiti haiwan korban.

“Apa salah kita laburkan sedikit wang demi mendapat haiwan yang terbaik dan elok walaupun sedikit mahal.

“Sebenarnya, kos korban di luar negara murah kerana haiwan yang mereka berikan lebih kecil dan sebab itu tidak dinafikan harga sedemikian diberikan.

“Niat kena betul, sangat tidak digalakkan sekiranya menyertai ibadah korban hanya kerana harga murah yang ditawarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau mengulas trend mengadakan ibadah korban di luar negara yang menawarkan harga hampir separuh lebih murah berbanding melakukan ibadah korban di dalam negara.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Ahmad Najaa’ Mokhtar menyifatkan umat Islam yang melakukan ibadah korban di luar negara sebagai cara bersedekah dengan konsep yang berbeza.

“Apa salahnya, sekiranya berkemampuan, kita mempelbagaikan kaedah bersedekah dengan melaksanakan ibadah korban di Malaysia dan di luar negara.

“Lebih baik sekiranya diberi kepada keluarga kita sebab ibadah korban ini bukan seperti zakat di mana kita perlu bagi kepada orang tertentu.

“Dari segi konteks tempat pula, di mana-mana kita boleh laksanakan ibadah korban ini serta tidak ada istilah kawasan yang lebih baik kerana asalkan sudah ada niat hendak buat sudah memadai,” katanya.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid turut menyokong amalan korban di luar negara namun amalan itu tidak seharusnya dijadikan sebagai trend.

“Seharusnya amalan ini tidak jadi trend pesta korban di luar negara. Adalah lebih baik sekiranya Malaysia mewujudkan ladang penternakan haiwan korban di sesebuah negara bagi memudahkan amalan korban dilakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE