Perkembangan itu menurut mereka sudah pasti akan menyempitkan lagi mata pencarian mereka yang seratus peratus bergantung kepada hasil tangkapan laut.

Wakil nelayan, Idris Haron, 52, memberitahu, perkara pa­ling dikesali adalah apabila pihak ter­­babit telah membelakangkan mereka dan langsung tiada perundingan bersama para nelayan di sini.

“Kami nelayan Kampong Lereh amat terkejut dan kecewa apabila secara tiba-tiba diadakan sebuah majlis perasmian projek tambak laut berdekatan dengan jeti kami.

“Kami juga tidak diberikan sebarang taklimat mengenai projek berkenaan ini dan lebih malang lagi, kami mendapat maklumat pemaju projek terbabit telahpun membayar duit pampasan kepada agensi terlibat yang mewakili kerajaan negeri, sedangkan kami langsung tidak menerima sebarang pampasan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Azmi Osman, 42, pula memaklumkan, projek tambakan laut yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pun sudah cukup menyeksa warga nelayan dan kini ditambah lagi dengan projek baharu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Projek tambak laut pada bila-bila masa akan bermula, menjadikan kita nelayan semakin sempit nak cari makan dengan kawasan pesisiran yang terhad.

“Sepatutnya wakil-wakil ke­rajaaan lebih prihatin tentang masalah kami. Turunlah padang dan dengar sendiri masalah yang dihadapi oleh nelayan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan yang mengadakan pertemuan bersama nelayan berharap kerajaan negeri memandang serius masalah tersebut supaya nasib ne­layan-nelayan dapat dibela dengan sewajarnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Adly Zahari ketika diminta mengulas berhubung isu tersebut berjanji akan memberikan perhatian tentang permasalahan yang timbul itu.

“Berhubung sumbangan yang didakwa tidak sampai, perkara ini kita akan melihat kembali kerana secara asasnya kerajaan negeri sudah pun membuat satu sistem, setiap kawasan tambakan itu ada diperuntukkan untuk tabung nelayan dan urusan ini membabitkan persatuan-persatuan nelayan.

“Bagaimanapun, kerajaan ne­ge­ri bakal melihat semula dan akan meminta Exco terlibat mem­­berikan perhatian terhadap per­kara ini supaya warga nelayan terlibat dapat dijaga kebajikan mereka,” katanya.