Skuad Terjah difahamkan, kerja-kerja merobohkan itu bagi memberi laluan kepada projek pembinaan jalan yang sudah bermula sejak dua tahun lalu di Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak).

Jika dahulu medan selera itu menjadi tempat persinggahan ramai pengunjung untuk makan tengah hari, berbeza hari ini seri dan semaraknya semakin hilang.

Peniaga mendakwa perniagaan mereka merosot sejak projek itu dijalankan kerana kesukaran pe­langgan untuk meletakkan ken­deraan mereka.

Tapak perniagaan yang diusahakan peniaga bumiputera itu tidak ubah seperti sebuah pulau ditengah-tengah projek pemba­ngunan.

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Datuk Keramat, Shoid Chee mendakwa, kegagalan pihak bertanggungjawab menyediakan tapak baharu dan memberi pampasan kepada peniaga memberi tekanan kepada mereka.

Menurutnya, lebih malang pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diharap dapat membela nasib peniaga seolah-olah lepas tangan dan berdiam diri.

“DBKL selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sahaja tidak membenarkan lesen peniaga diperbaharui, dalam masa sama mereka dihalau bagaikan pendatang tanpa memberi sebarang pampasan mahupun lokasi baharu,” katanya kepada Skuad Terjah di sini.

Sementara itu tinjauan Skuad Terjah mendapati keadaan persekitaran medan selera itu turut diancam pencemaran habuk dan debu berikutan projek jalan yang giat dilaksanakan.

Berdasarkan pemerhatian, ha­nya beberapa orang pelanggan singgah di medan selera itu.

Shoid menambah kata, kegagalan DBKL memenuhi tuntutan peniaga agar menyediakan tapak perniagaan baharu menyebabkan sehingga hari ini mereka masih belum berpindah.

“Walaupun peniaga menerima beberapa notis supaya mengosongkan tapak itu oleh pemaju tetapi, mereka enggan berpindah.

“Ke mana dan di mana peniaga mahu meneruskan perniagaan mereka yang selama ini menjadi sumber rezeki untuk menyara keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, Shoid yang mewakili peniaga di medan selera itu mahu kerajaan campur tangan untuk membela nasib peniaga di situ.

Beliau berkata, keadaan peni­a­ga semakin tersepit hari demi hari berikutan pemaju akan memagar kawasan itu sebagai usaha untuk mengusir mereka dari situ.

“Ini satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Peniaga sudah lama berniaga di medan selera ini dan mereka berhak untuk mendapat layanan lebih adil dan berharap segala tuntutan termasuk memberikan pampasan yang sewajarnya dapat dipenuhi,” ujarnya.