Walaupun nampak biasa, tetapi nasi ayam goreng kunyit ini sempurna dan sedap dimakan ketika panas-panas tanpa perlu memilih atau menambah lauk-lauk lain kerana menu ringkas itu sudah cukup lengkap.

Maka tidak hairanlah, menu ini menjadi pilihan utama pelanggan di Kiosk 8A Under Trees Cafe milik Perbadanan Putrajaya (PPj) yang terletak bersebelahan Kompleks Istana Kehakiman dan berhadapan Kompleks PPj.

Kiosk 8A Under Trees Cafe beroperasi seawal pukul 7 pagi, bagaimanapun menu utamanya nasi ayam goreng kunyit yang berharga RM5 itu hanya mula dijual pada pukul 11.30 pagi.

Juadah yang dijual pada sebelah pagi untuk pelanggan bersarapan tidak kurang menariknya kerana kiosk itu menjual lebih 10 jenis nasi yang diterbangkan khas dari Kelantan seperti nasi air dingin, nasi kerabu, nasi dagang serta nasi tumpang selain lebih 1,500 biji pelbagai jenis kuih-muih tradisional.

Pemiliknya, Abdul Basir Musa berkata, dia mula berniaga sejak dua tahun lalu dengan memulakan perniagaan menjual sarapan pagi sahaja, namun selepas itu timbul idea untuk menjual nasi ayam kunyit kerana di gerainya tidak menjual menu lain untuk makan tengahari.

"Sarapan yang dijual biasanya sudah habis pada pukul 11 pagi, pelanggan yang datang ke kiosk selepas itu dapat minum sahaja. Jadi saya terfikir idea untuk menjual nasi ayam goreng kunyit, namun tidak sangka menu itu mendapat permintaan yang tinggi sehingga sekarang.

"Dalam sehari saya dapat menjual kira-kira 300 pinggan nasi ayam goreng kunyit, rata-rata pelanggan saya ialah penjawat awam selain orang ramai yang mempunyai urusan di Kompleks Istana Kehakiman dan juga Jabatan Imigresen tidak jauh daripada kiosk," katanya ketika ditemui Utusan Kota di sini hari ini.

Menurut Abdul Basir, walaupun hanya berniaga di bawah pokok semua itu tidak menghalangnya mencari rezeki halal, malah kebanyakan pelanggan senang dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan itu kerana bagi mereka lebih santai dan berkonsepkan warung lama di kampung.

"Setiap hari saya akan buka 15 meja untuk bersarapan dan pada sebelah tengahari mereka boleh cuba nasi ayam goreng kunyit. Itu menu yang saya jual sejak dua tahun lalu, tidak pernah berubah, namun tetap menjadi pilihan pelanggan.

"Dalam sehari kira-kira 25 ekor ayam digunakan, cara masakannya juga mudah kerana dimasak dalam kiosk yang sempit. Terlebih ayam yang telah diperam dengan kunyit digoreng sehingga garing sebelum dicampur beberapa bahan lain seperti bawang, kacang panjang dan lobak merah," katanya.