Bunyi agak pelik tetapi itulah keunikan inovasi terhasil daripada proses biomas kelapa sawit yang melalui dua kaedah pemprosesan iaitu ekstrak selulosa dan fibrilasi nano.

Justeru, inovasi teknologi itu juga terhasil tanpa melibatkan sebarang bahan kimia berbahaya sekali gus dapat digunakan dalam makanan dan industri pembuatan.

Menurut Koordinator Inovasi Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hidayah Ariffin, penghasilan Nanoselulosa dapat menjadi bahan dalam pelbagai kegunaan.

Katanya lagi, ia mampu diaplikasi dalam 10 kegunaan yang berbeza dalam pelbagai industri.

“Saya menjangkakan nanoselulosa boleh digunakan dalam pelbagai sektor industri seperti pembuatan kenderaan, pemakanan, perubatan, farmasi dan juga kosmetik.

“Bahan tersebut juga boleh digunakan sebagai ejen pemekat menggantikan pemekat konvensional kerana penghasilannya tidak memerlukan teknologi yang sukar.

“Selain itu, fungsi nanonya juga boleh digunakan dalam pembuatan bahan-bahan penapis air dan udara. Malah nanoselulosa juga lebih ringan berbanding gentian fiber semula jadi,” jelasnya dalam taklimat Putracipta UPM sempena Ekspo Pertanian dan Pesta Konvo UPM ke - 41.

Projek inovasi Nanoselulosa itu dihasilkan oleh secara berkumpulan melibatkan lima pakar dari UPM serta dua dari Institut Teknologi Kyushu, Jepun iaitu Prof. Dr. Yoshito Shirai dan Prof. Dr. Haruo Nishida.

Nanoselulosa disasar untuk dikomersialkan secara meluas selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan serta kajian pemasaran. - UTUSAN ONLINE