Raptai ketiga yang bermula pukul 7 pagi sehingga 11 pagi itu menggabungkan beberapa elemen persembahan antaranya senario peperangan untuk memerdekakan negara, tarian, perarakan 60 kontinjen serta pancaragam berjalan lancar seperti yang dirancangkan.

Menurut Perdana Menteri, apabila pencapaian yang dilakukan generasi terdahulu diserapkan dalam persembahan Khamis ini, semestinya sambutan Hari Kebangsaan kali ini tidak akan dilupakan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata, tahun ini merupakan tahun yang unik, istimewa dan bersejarah kerana Malaysia berjaya menyusuri perjalanan 60 tahun selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

“Saya berpuas hati dengan persembahan kali ini dan tayangan video sebentar tadi menunjukkan kesusahan kita pada peringkat awal mencapai kemerdekaan oleh itu, kita akan tunjukkan persembahan yang tidak boleh dilupakan rakyat Malaysia.

“Apabila pencapaian itu dijadikan persembahan untuk sambutan kali ini, kita akan dapat merasai apa yang diusahakan generasi sebelum ini merupakan satu yang sangat cemerlang,” katanya ketika berucap pada raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan di sini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak. -  UTUSAN ONLINE