Pegawai Penyelaras Parti Gerakan Parlimen Kepong, Ong Siang Liang berkata, keadaan tar jalan raya yang uzur dan kemudahan paip bagi penjaja tidak terurus dengan baik termasuk kekangan tempat letak kenderaan buat pengunjung.

Katanya, cadangan dan perbincangan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama komuniti penjaja akan diusahakan bagi kelangsungan pengurusan pasar yang lebih baik.

“Pembaikan tar di beberapa kawasan di Jalan Camar dan Jalan Bangau yang melibatkan tapak lot penjaja akan dibawa kepada pengetahuan DBKL untuk menampal semula lopak dan lubang tersebut.

“Wajah baharu pasar pagi ini amat diperlukan lebih-lebih lagi manfaatnya kepada 400 penjaja dan peniaga majoriti Cina itu menjadi tumpuan dalam kalangan penduduk Kepong termasuk dari Rawang, Sungai Buloh dan Petaling Jaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui dalam Taklimat Pengasingan Sisa Pepejal Parlimen Kepong bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) oleh Timbalan Pengarah Bahagian Operasi SWCorp WPKL, Mohd. Zahir Shari. - UTUSAN ONLINE