Corak -corak `kotor’ ini semakin lama semakin bervariasi dan mempunyai nilai estetika tersendiri terutama di mata pencinta seni.

Jika sebelum ini mural menghiasi tembok-tembok bangunan di bandar raya Georgetown, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak kini jejak sama diikuti Petaling Jaya.

Dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melalui program seni jalanan yang dinamakan projek #CreativePj, mural kini menjadi antara tarikan terbaharu di bandar raya itu.

Sejak projek itu dijalankan hampir setahun lalu beberapa kawasan di Seksyen 52 di sini seolah -olah tampak hidup dan berwarna-warni dengan lukisan mural pelbagai motif yang sarat dengan maksud tersirat.

Salah seorang pelukis mural yang terlibat, Mohd. Razlan Adnan, 31, berkata, idea serta pelaksanaan beberapa karya seni itu tercetus bagi mengangkat nilai-nilai sejarah di setiap lokasi terpilih.

Katanya, ia sepenuhnya didedikasikan buat warga Petaling Jaya yang membesar dalam kelompok masyarakat berbilang kaum dan suasana pembangunan pesat bandar ini.

“Konsep serta mesej yang disampaikan agar masyarakat dapat berinteraksi dengan karya berkenaan yang secara tidak langsung ada kaitan dengan cerita mereka sewaktu kecil sehingga dewasa.

“Saya dipertanggungjawab melaksanakan tujuh buah karya yang setiap satunya menititikberatkan nilai interaksi dengan masyarakat terutama kanak-kanak,” ujarnya yang merupakan pengasas Warna Arts Studio.

Antara mural yang menarik perhatian ramai sekitar Seksyen 52, Petaling Jaya itu adalah mural burung pungguk gergasi, permainan layang-layang, anjing dan kucing serta pelbagai ragam kanak-kanak.

Pelukis mural sarang burung pungguk gergasi Mohd. Zaki Nordin, 30, berkata, mural yang dilukis pada tembok Kompleks A, Medan Letak Kereta berhampiran Menara MBPJ itu menyimpan mesej tersirat.

“Burung pungguk tersebut diumpamakan sebagai pemerhati untuk memantau orang ramai supaya membayar dahulu caj tempat letak kereta.

“Pemilihan burung itu sebagai subjek utama juga kerana sifatnya yang pendiam dan misteri serta tidak membawa sebarang provokasi kepada masyarakat,” katanya yang mewakili kumpulan pelukis Escapeva itu.