Taman rekreasi seluas 600 meter persegi yang terletak bersebelahan dengan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kampung Selamat itu dibuka kepada umum pada 27 Januari lalu dengan kos pembinaan RM500,000.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, pembangunan taman hijau dan rekreasi itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan untuk kemudahan orang ramai.

“Ini adalah sumbangan MRT Corp kepada masyarakat setempat. Pembinaan kemudahan seperti ini di sepanjang jajaran MRT terbukti bermanfaat bagi kesejahteraan bersama,’’ katanya pada majlis pembukaan taman itu baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, MRT Corp turut menyerahkan taman yang dibina di atas tanah rizab milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) itu kepada pihak pengurusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Landskap MBPJ, Zuraidah Sainan; Timbalan Ketua Operasi Pengagihan Syabas, Yusof Saroji; Pengarah MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn. Bhd., Maslan Othman; Pengarah Eco Design Collaboration Sdn. Bhd., Fatthullah Mohd Nor dan wakil penduduk Kampung Selamat, Ramli Yahya.

MMC Gamuda merupakan Rakan Pelaksana Projek Laluan SBK manakala Eco Design adalah perunding reka bentuk pembinaan taman tersebut. - UTUSAN ONLINE