Presiden MRA, Dr. Mohd .Daud Sulaiman berkata, kenderaan itu akan digunakan untuk membantu masyarakat di Pulau Pinang.

“Kenderaan itu telah diserahkan kepada Pengerusi MRA Pulau Pinang, Dr. Mohd. Firdaus Izzani Ibne Walid dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

“MRA Pulau Pinang akan menggunakan kenderaan tersebut untuk membantu masyarakat miskin bandar melalui kelas tuisyen percuma di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar Permatang Pauh yang dibuat pada setiap minggu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, selain menjalankan kelas tuisyen, MRA Pulau Pinang juga aktif mengadakan Program Kasih Gelandangan iaitu pemeriksaan kesihatan, pemberian pek kesihatan serta pemberian makanan percuma secara berkala bagi golongan gelandangan.

“MRA sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang begitu bermakna buat kami.

“Segala sumbangan bagi melancarkan urusan bantuan masyarakat miskin bandar di Pulau Pinang amatlah dialu-alukan dan boleh disalurkan ke akaun Maybank MRA Pulau Pinang melalui ke akaun 5570 9052 0902,” katanya. - UTUSAN ONLINE