Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, inisiatif itu bertujuan memperkasakan kerjasama awam dan swasta bagi mendapatkan pandangan golongan wanita dalam pembentukan rangka kerja Bandar Hijau Mesra Wanita MPSJ.

Menurutnya, langkah itu akan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan kehendak kira-kira 64 peratus wanita daripada 790,000 penduduk di kawasan pentadbiran PBT berkenaan.

“Selain penambah baikan kemudahan sedia ada, usaha ini adalah untuk memperkasakan penglibatan wanita dan menetapkan indikator dalam penyediaan servis mesra wanita merangkumi aspek keselamatan, kesihatan, pendidikan dan perniagaan.

“MPSJ menyedari kehendak dalam kalangan masyarakat dan sudah tiba masanya kami mengungguli keperluan komuniti dalam segmen wanita agar golongan kanak-kanak, ibu tunggal dan warga emas berasa selamat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan ‘Lab MPSJ - Bandar Hijau Mesra Wanita’ yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Seramai 120 peserta menyertai bengkel berkenaan yang melibatkan wakil jawatan kuasa penduduk, NGO, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta rakan kerjasama yang lain. - UTUSAN ONLINE