Usaha itu dibuktikan melalui pelancaran program dan konvensyen yang diadakan selama dua hari bermula semalam di Kompleks Beli-Belah The Summit, USJ, Subang Jaya Selangor.

MPSJ dalam kenyataan di sini hari ini berkata, program yang dirasmikan oleh Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan itu dihadiri seramai 1,876 peserta dari 56 buah sekolah rendah dan menengah di bawah pentadbiran MPSJ.

“Pelaksanaan program pada tahun ini merupakan kesinambungan dari kejayaan Program Sekolah Sejahtera yang bermula sejak 2017 dengan kerjasama MPSJ dan Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana.

“Program yang dilanjut dan dijenamakan semula sebagai Generasi Bestari ini adalah hasil kejayaan projek perintis yang mana pelaksanaannya akan diteruskan bagi tempoh lima tahun lagi untuk memastikan impak dan keberkesanan dapat diukur,” katanya.

Menurut kenyataan itu, program bertema Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya tersebut merupakan inovasi sosial untuk membentuk golongan remaja dan kanak-kanak sebagai ejen perubahan bagi pembentukan masyarakat madani serta persekitaran hijau dan kondusif.

“Usaha ini selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 di bawah Teras 5: Pembentukan Masyarakat Madani serta Matlamat Pembangunan Mampan dan Agenda Pembangunan Baru,” katanya. - UTUSAN ONLINE.