PENGGUNA terutama pekerja-pekerja kilang berdekatan tidak perlu lagi bimbang untuk menggunakan laluan pejalan kaki sepanjang hampir 300 meter ini kerana MPKj telah melaksanakan kerja-kerja pemotongan semak-samun pada Rabu lalu. - UTUSAN ONLINE

Yang Dipertuanya, Mohd. Sayuthi Bakar berkata, tindakan itu bagi memastikan kawasan tersebut bersih, kemas dan tersusun, sekali gus mengelak daripada menjadi sarang binatang berbisa selain lokasi penyamun.

“Kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan melalui kontraktor dilantik di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPKj.

“MPKj sentiasa prihatin terhadap permasalahan berlaku di kawasan di bawah selian majlis untuk memastikan ia selamat, selesa dan memudahkan pengguna selain menjaga imej kawasan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia pada Rabu lalu melaporkan mengenai kebimbangan penduduk berhubung isu tersebut disebabkan keadaannya yang begitu seram dan menakutkan serta membahayakan keselamatan pengguna. - UTUSAN ONLINE