Ketua Penyelarasnya, Afnizul Zain berkata, program pada 24 hingga 26 Februari depan itu me­rupakan kerjasama antara Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kelab Motosikal Kepala Kuasa (KKMG) dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Program diadakan bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan di samping menjadi platform mempromosikan Temasya Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Pelbagai aturcara dan aktiviti akan dilangsungkan meliputi arena permotoran, pameran, khidmat masyarakat, program kesedaran dan kesihatan serta hiburan.

“Antara pengisian menarik sepanjang WIM 2017 adalah Kembara Dua Wilayah (Putrajaya-Da­taran Merdeka), ‘Kapcai Iron Butt’, persembahan tatu daripada DBKL dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain pameran kelab-kelab motosikal lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Karnival ini juga katanya, turut disertai oleh kelab motosikal dari Thailand, Kemboja, Indonesia, Brunei dan Singapura serta syarikat pengeluar motosikal daripada Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat selain 50 kelab motosikal tempatan.

Menurut Afnizul, pemilihan ibu negara sebagai lokasi penganjuran adalah bertujuan menarik peminat sukan permotoran dari seluruh pelosok Semenanjung Malaysia serta Thailand dan Si­ngapura ke­rana jaringan laluan ke Kuala Lumpur yang mudah diakses.

Tambahnya, pelancaran WIM 2017 telah diadakan pada 6 November lalu melibatkan kira-kira 1,000 pemilik motosikal pelbagai jenis di Padang Kawat DBKL, Jalan Tun Razak dengan iringan polis trafik dan warden trafik DBKL.

Malah ahli jawatankuasa KKMG itu turut menyatakan empat siri jerayawara ke zon selatan, tengah, utara dan timur telah diadakan selain penyertaan acara-acara motosikal yang lain seperti PD International Bike Week, Negeri Sembilan dan Betong Bike Week, Thailand dan Custom Culture di Jogjakarta, Indonesia.

Katanya lagi, karnival turut diadakan dengan tujuan mengeratkan silaturahim dan memberi ke­sedaran tentang kaedah dan gaya hidup bermotosikal yang betul dan sihat di samping memper­kenal destinasi menarik di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Terdapat juga konsert daripada beberapa penyanyi rock tanah air termasuk Awie, XPDC dan beberapa lagi artis lain serta acara Battle of the Band antara beberapa kumpulan rock.

“Cabutan bertuah serta per­tandingan motosikal turut diadakan melalui 13 kategori terbuka dengan mempertaruhkan hadiah utama dua buah motosikal berkuasa tinggi dan dijangka dapat menarik lebih 30,000 peminat motosikal seluruh negara,” ujarnya.